mutakhir

Terbayang ke tali gantung

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: “Saya bayangkan mati di tali gantung apabila didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana kesalahan memiliki heroin dan syabu, tiga tahun lalu.

“Setiap hari saya menangis kerana begitu takut dan menyesal dengan perbuatan dilakukan semata-mata mengejar kemewahan secara salah,” kata Ali, 39, bukan nama sebenar.

Dia yang berasal dari FELDA Jengka, Maran berkata, sepanjang menunggu hasil analisis dadah dirampas, dia hanya mampu berdoa supaya bebas daripada hukuman tali gantung.

Menurutnya, ketika berada dalam penjara wajah lima anak dan ibu sentiasa terbayang, rasa menyesal begitu menebal apabila menggunakan wang haram menjual dadah untuk menyara keluarga.

“Selama dua tahun saya terbabit aktiviti menjual heroin dan syabu. Saya mampu meraih pendapatan antara RM8,000 hingga RM9,000 sebulan. Pelanggan tetap adalah anak peneroka di Jengka selain golongan remaja di Temerloh.

“Selain menjual dadah, saya juga penagih syabu selama dua tahun selepas rumah tangga yang dibina musnah. Dadah digunakan untuk menghilangkan tekanan dan melupakan seketika isteri,” katanya pada Program Terapi Keluarga @ Orang Diselia (ODS) Jalinan Aidilfitri 2018 yang disempurnakan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Shukur Abdullah di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10 di sini, semalam.

Program anjuran LPPKN Pahang dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia memberi peluang kepada 25 ODS bertemu ahli keluarga masing-masing selain diadakan bual bicara, ekspresi dirimu kesayanganku dan refleksi diri.

Ali berkata, dia bersyukur apabila terlepas hukuman gantung, sebaliknya hanya dikenakan hukuman tiga tahun penjara dan enam sebatan ketika berada di Penjara Bentong.

“Saya akan bebas tujuh bulan lagi dan pengalaman berada Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10 memberi pengajaran berguna untuk meneruskan masa depan dan membina hidup baru bersama anak,” katanya.

Rakannya, Mohd, 31, bukan nama sebenar yang berasal dari Jerantut berkata, sikap tamak dan inginkan kekayaan segera mendorongnya melakukan pecah amanah membabitkan wang tunai RM384,000 empat tahun lalu.

“Ketika kejadian saya bekerja dengan syarikat kewangan yang menyediakan pinjaman segera, saya mengugut seorang lelaki supaya membayar pinjaman dilakukan bagi mengelak berhadapan masalah.

“Wang yang dibayar saya ambil dan sempat digunakan untuk membeli kereta sebelum ditangkap dan dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan 13 sebatan,” katanya.

Menurutnya, dia akan bebas akhir tahun ini, seterusnya memulakan hidup baru di daerah lain bagi memastikan sejarah hitam dipadam sepenuhnya.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 5:46am
d