mutakhir

Patin ganti rendang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Jemu dengan menu rendang ayam dan daging sejak 1 Syawal menyebabkan ikan keli dan patin menjadi pilihan pengguna selepas sambutan hari raya Aidilfitri lalu.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan, di sini semalam, mendapati dua spesies ikan berkenaan mendapat permintaan tinggi sehingga mencecah jualan 100 kilogram (kg) sehari bagi ikan keli manakala 50kg patin.

Peniaga ikan sungai, Mohd Dahan Dollah, 50, berkata, permintaan itu mendorongnya untuk menambah bekalan jualan ikan keli dan patin sangkar minggu ini.

Katanya, jualan ikan keli pada harga RM8 sekilogram manakala patin sangkar dijual pada RM20 sekilogram mendapat sambutan hangat.

“Saya jangkakan permintaan ikan keli dan patin meningkat sehingga minggu depan. Ramai pelanggan mahu mengubah selera selepas jemu dengan hidangan rendang ayam dan daging.

“Harga jualan dua ikan ini juga berpatutan kerana masih kekal sejak Ramadan lalu,” katanya ketika ditemui wartawan semalam.

Seorang lagi peniaga ikan sungai, Nik Ammadi Said, 32, berkata permintaan ikan sungai terutama patin dan keli meningkat sekali ganda.

“Saya jangkakan permintaan ikan ini akan meningkat berikutan ramai yang sudah jemu dengan masakan berasaskan ayam dan daging,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Kamariah Mohamed, 54, dari Indera Mahkota, di sini memilih ikan sungai kerana mendakwa sudah lama tidak merasai masakan ikan patin sejak 1 Syawal lalu.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 5:51am
d