mutakhir

Merayu minta lepas

Oleh Syazwan Msar

Serdang: Remaja lelaki berusia 18 tahun antara 16 kaki judi yang ditahan pihak polis dalam serbuan di sebuah restoran menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, jam 7 malam kelmarin.

Panik selepas ditahan, remaja yang menetap di Cheras itu berkali-kali merayu kepada pihak polis supaya melepaskannya berikutan risau akan dimarahi ibu bapanya.

Ketika merayu, remaja berkenaan yang baru saja menamatkan zaman persekolahan mengaku kerap ke premis berkenaan sejak sebulan lalu untuk bertaruh.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, Op Dadu membabitkan lima pegawai dan 23 anggota diketuai Superintendan Hussin Mat Junus dilancarkan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti perjudian dijalankan di premis berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

“Ketika serbuan dilakukan semua kaki judi berkenaan sedang leka bertaruh judi dalam talian. Kami turut menahan lima pekerja restoran untuk membantu siasatan, menjadikan jumlah keseluruhan ditahan 21 orang.

“Bilik pertaruhan itu terletak di belakang restoran dan agak tersorok menyebabkan aktiviti pertaruhan berlaku sukar dikesan pihak berkuasa. Malah pintu masuk ke ruang berkenaan terletak di belakang sebuah peti sejuk.

“Hanya individu tertentu saja yang dibenarkan masuk ke ruang terbabit. Premis ini turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, lima pekerja restoran yang juga warga asing dan 16 kaki judi ditahan berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun.

“Antara barangan yang dirampas adalah 15 komputer riba, 10 mesin slot, dua mesin simulator, buku catatan dan juga wang tunai kira-kira RM3,085.

“Semua individu berkenaan termasuk barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Sekyen 6(1) ARJT 1953,” katanya.

Beliau berkata, warga asing ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum tindakan lanjut terhadap mereka diambil.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 6:03am
d