mutakhir

Mereka tidak bernikah di Narathiwat

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

MAJLIS Agama Islam Narathiwat menafikan budak perempuan berusia 11 tahun dan pasangannya 41 tahun berkahwin di daerah berkenaan, baru-baru ini.

Naib Yang Di-Pertua majlis itu, Abdul Aziz Che Mamat berkata, pihaknya tidak pernah melakukan proses perkahwinan kedua-dua pasangan itu yang tular selepas gambar akad nikah budak itu disebarkan di Facebook.

Katanya, Majlis Agama Islam Narathiwat sentiasa menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk berkahwin terutama mereka yang mahu berpoligami.

Bagaimanapun katanya, undang-undang agama Thailand tidak menghalang perkahwinan membabitkan remaja bawah umur yang mendapat restu kedua ibu bapa remaja itu.

"Sejak beberapa tahun lalu hingga hari ini, tidak ada upacara akad nikah membabitkan remaja bawah umur dilakukan di pejabat kami di Narathiwat dan ia bukan kesalahan menikahkan remaja atau pasangan bawah umur di Thailand," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Abdul Aziz berkata, undang-undang Thailand tidak melarang perkahwinan bawah umur kerana ia dapat menghalang maksiat daripada berlaku.

"Pihak agama Thailand bersetuju untuk mengahwinkan mereka yang berumur 16 tahun ke bawah kerana ia sah mengikut hukum syarak agama Islam.

"Ini juga supaya dapat mengelakkan kelakuan zina dan sebagainya membabitkan pasangan itu," katanya.

Sementara itu, sumber berkata pasangan yang dimaksudkan berkemungkinan besar berkahwin di pejabat agama di Sungai Golok bersempadan dengan Kelantan.

Katanya, kebanyakan pasangan Malaysia terutama dari Kelantan memilih untuk berkahwin di situ kerana jarak perjalanan yang dekat.

Perkahwinan kanak-kanak yang juga warga Thailand itu mengejutkan orang ramai memandangkan kanak-kanak itu baru berusia 11 tahun.

Kedua-dua dipercayai berkahwin di Thailand pada Aidilfitri keempat (18 Jun).

Perkahwinan mereka mendapat restu ibu bapanya yang membawa dia ke Thailand untuk bernikah.

Berita berkaitan

'Maduku budak 11 tahun'

[UPDATE] Perlu mohon kebenaran mahkamah

[UPDATE] Nak ikut sunnah Nabi SAW katanya...

[UPDATE] 'Saya sayangkan Abe...'

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 5:09pm
d