mutakhir

Tak sempat minum susu

Oleh Mohammad Ishak

IBU Mohd Harif Iskandar Rosli, kanak-kanak yang ditemui lemas dalam besen di bilik air rumah keluarganya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, Jertih, hari ini, terkilan tidak sempat menyiapkan susu yang dibancuh untuk Mohd Harif.

Anna Hanim Mat Yasin, 37, berkata, sebelum kejadian, mangsa merengek mahukan susu.

“Tangisan ingin menyusu rupa-rupanya menjadi kenangan terakhir arwah sebelum dia ditemui lemas dalam besen," katanya.

Kejadian berlaku 10 pagi ketika mangsa dikatakan masuk ke bilik mandi dan cuba mengambil gelas yang tiba-tiba terjatuh ke dalam besen.

Anna berkata, kakak mangsa, Nor Ayani Rosli, 9, menyedari kehilangan adiknya dan ternampak mangsa tersungkur di dalam besen yang berisi air.

“Arwah anak yang periang, dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian. Dia hanya menangis minta susu, pagi ini,” kata Anna.

Difahamkan, mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia ketika masih di rumah, dikejarkan ke Hospital Besut.

Sebaik tiba, pihak hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Bual, pada 4 petang tadi.

Berita berkaitan

Budak lemas dalam besen

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 9:53pm
d