mutakhir

Shahanim Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani

Oleh Omar Osman

Gambar Omar Osman

TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusuff dipilih Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani yang baharu selepas menewaskan penyandangnya Mejar ( B) Datuk Abdul Rahim Saad dalam pemilihan parti itu, semalam.

Keputusan pemilihan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani itu diumumkan Pengerusi Tetap Jawatankuasa Pemilihan UMNO Sungai Petani, Hassan Mat Isa di Dewan Majlis Perbandaran Sungai (MPSPK), 4 pagi tadi.

Shahanim memperolehi 428 undi menewaskan Abdul Rahim yang hanya mendapat 246 undi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pula dimenangi Naib Ketuanya, Mohd Rodhi Rejab yang mendapat 335 undi menewaskan Makbul Ilahi Hashim yang mendapat 321 dengan majoriti 15 undi manakala undi rosak 22.

Jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula dimenangi bekas Ketua Pemuda, Muhamad Effendi Mashum mendapat 333 undi manakala pencabarnya Razali Othman memperolehi 302 undi.

Sementara itu, Shahanim amat bersyukur dengan kemenangan ini kerana segala kerjanya dalam parti selama 17 tahun dinilai dan dihargai ahli ahli UMNO.

Katanya, pengalaman 17 tahun dalam UMNO dengan memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Puteri UMNO Kedah, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia dan terakhir Timbalan Ketua UMNO Bahagian, beliau yakin mampu membawa perubahan kepada UMNO Sungai Petani.

"Bagi saya UMNO khususnya Bahagian Sungai Petani perlu perubahan selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

"Saya yakin dengan semangat juang tinggi yang ada pada setiap ahli, UMNO mampu bangun semula, pada masa sama menilai kesilapan yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Beliau juga akan bekerja keras bagi mengembalikan keyakinan rakyat pada parti keramat ini dan tumpuan diberikan kepada golongan muda.

"Pada masa sama saya juga akan berusaha menambah jumlah ahli UMNO dan menarik kembali anak muda ke dalam parti.

"Sebelum ini ramai anak muda berada di dalam UMNO namun ada yang tinggalkan parti kerana merajuk dan berkecil hati dengan sikap segelintir pemimpin parti sendiri" katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 11:50am
d