mutakhir

Kumpul duit bina jalan

Oleh Recqueal Raimi

PENDUDUK Kampung Kobon di Pitas sanggup mengumpul wang untuk menyewa jengkaut bagi membina laluan kenderaan sepanjang enam kilometer (km), sekaligus membolehkan penduduk menikmati kemudahan jalan lebih baik.

Setiausaha Kampung Kobon, Juni Andigang, 35, berkata, masalah jalan yang dihadapi sekian lama itu pernah diadu kepada pihak berkaitan dan memohon penyelesaian sejak 2016 namun tiada tindakan sehingga kini.

Katanya, penduduk juga masih menggunakan bot di laluan Sungai Bengkoka sejauh tiga km ke Pandan Mandamai atau berjalan kaki sejauh enam km di hutan menuju Jalan Mempakad-Jalan Pinapak sebelum menaiki kenderaan.

"Atas sebab itu, kami (penduduk) mengumpul RM9,000 mengikut kemampuan masing-masing untuk membayar perkhidmatan jengkaut tetapi masih tidak mencukupi dan tertangguh.

"Sangat membimbangkan, setiap kali hujan lebat dan berlaku banjir, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Mandamai dari kampung ini perlu berdepan detik cemas menaiki bot mengharungi arus deras.

"Jika berjalan kaki pula, penduduk bukan sahaja mengerah tenaga sejauh enam km, malah terpaksa melalui laluan berlumpur," katanya kepada NSTP.

Menurut Juni, laluan dipenuhi belukar, berbukit, tidak rata dan berlumpur itu menyebabkan kenderaan sukar bergerak walaupun dengan menggunakan pacuan empat roda.

Malah, hampir 400 penduduk di Pitas yang sebahagian besar bekerja sebagai petani, pekebun dan peladang juga tiada bekalan elektrik dan air bersih.

"Kami menggunakan sumber air tadahan bukit dan Sungai Bengkoka yang keruh setiap kali hujan lebat serta menggunakan lilin setiap malam sedangkan kawasan lain menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Saya harap masalah kami dapat diselesaikan segera," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 1:24pm
d