mutakhir

Akim cari ibu kandung

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

“Saya nak jumpa mak.” Begitu kata-kata Muhammad Hanif Hafnizam, 4, yang terpisah dengan ibu kandung sejak berusia setahun.

Difahamkan, ibu kandung Muhammad Hanif, Nooramira Abdullah, 30, yang beralamat di Jalan Bukit Rambai, Melaka menyerahkan anaknya kepada ibu angkat untuk dijaga pada 4 Julai 2014 ketika berusia setahun.

Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Maran, Nor Zuhaira Abd Kadir berkata, keluarga angkat kanak-kanak itu kemudian menyerahkannya kepada JKM pada 27 Jun lalu kerana tidak mampu menjaga selain ada pelbagai masalah.

“Kita cuba mengesan kedudukan ibu kandung Muhammad Hanif melalui alamat pada kad pengenalan namun gagal kerana wanita terbabit tidak lagi tinggal di alamat itu.

“Bapa Muhammad Hanif yang dikenali sebagai Hafnizam Paiman, 30, juga gagal dikesan kerana kita tiada dokumen lengkap mengenai latar belakangnya.

“Dia (Muhammad Hanif) dengan nama gelaran Akim faham ketika ditanya dan hanya menjawab mahu bertemu dengan ibu kandung,” katanya ketika ditemui di Maran, hari ini.

Nor Zuhaira berkata, Muhammad Hanif kini ditempatkan sementara di Rumah Tunas Harapan Semai Bakti, Jengka, di sini, untuk penjagaan sementara mengikut Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, pihaknya sudah menetapkan jika ibu kandung gagal dikesan kanak-kanak itu akan dihantar ke Institut Kebajikan Masyarakat (IKM) Maran untuk penjagaan.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 1:52pm
d