mutakhir

Penuntut kolej ditemui mati di asrama

Oleh Nur Saliawati Salberi

PENUNTUT lelaki sebuah kolej milik kerajaan negeri ditemui mati di dalam bilik asramanya di Taman Pertam Perdana, Pulau Gadong, di Melaka, hari ini.

Mayat pelajar jurusan diploma berusia 21 tahun itu ditemui sekumpulan penghuni asrama dan pengawal keselamatan di biliknya.

Difahamkan, pelajar terbabit yang berasal dari Kedah sepatutnya pulang ke kampung dan tiba kira-kira jam 5 pagi ini, sebelum ibu mangsa menghubungi pihak asrama bagi memeriksa keadaannya.

Bagaimanapun, pemeriksaan di bilik mangsa kemudian mendapati pelajar berkenaan sudah tidak bernyawa dan dalam keadaan terbaring.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat pelajar itu kira-kira jam 12 tengah hari oleh warden asrama.

“Mayatnya ditemui di atas tilam di lantai dan pemeriksaan ke atas mayat berkenaan dipercayai dia sudah meninggal lebih daripada 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau.

“Dia dikatakan tinggal seorang diri memandangkan ketika ini semua pelajar termasuk rakan sebilik pulang bercuti,” katanya.

Afzanizar berkata, pemeriksaan dijalankan turut mendapati tiada berlaku sebarang unsur jenayah.

“Mayatnya di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 6:23pm
d