mutakhir

Tuah pengurus jenazah...

Oleh Ryan Stanley

PENGURUS jenazah dan bekas ratu antara tujuh pemenang bertuah yang bakal menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan kelab Manchester United di Old Trafford, Manchester, musim depan.

Kesemua individu itu dipilih menerusi cabutan tiket bertuah sempena majlis makan malam tahunan kelab penyokong Manchester United atau United Malaysia, di Kota Kinabalu, malam semalam.

Roland Sumandai Pilah, 45, yang juga seorang pengurus jenazah di Tuaran berkata, dia sangat teruja apabila bakal menyaksikan aksi pasukan kegemarannya di depan mata di Old Trafford.

“Ini salah satu impian saya dari dulu lagi dan saya sangat bersyukur kerana peluang ini mungkin hanya datang sekali dalam seumur hidup.

“Semua orang pun ada peluang masing-masing untuk ke sana, dan peluang itu bukan datang bergolek... ia memerlukan satu usaha seperti menghadiri majlis seperti malam ini (semalam)... jangan pernah berputus asa untuk mencuba," katanya.

Bagi bekas Miss Earth Sabah 2010, May Salitah Naru Kiob, peluang untuk menyaksikan pasukan Manchester United di Old Trafford adalah impiannya sejak dari kanak-kanak lagi.

“Saya tidak sabar untuk menyaksikan penjaga gol Manchester United, David de Gea serta semua pemain lain beraksi. Saya juga sangat bersyukur kerana sangat bertuah selepas menjadi ahli United Malaysia sejak setahun lalu," katanya.

Selain Roland dan May, lima pemenang bertuah yang lain ialah Muhammad Faizul M Mustapa, Suresh Ragaran, Richard Wong Chee Min, Logeswaran Anulagan dan Willie Jude Junaidi.

Terdahulu, presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam ketika ditemui berkata, tujuan utama penubuhan kelab berkenaan adalah untuk merealisasikan impian setiap ahlinya merasai sendiri kehangatan serta keseronokan menyaksikan perlawanan di Old Trafford.

Menurut Batholomew, peluang yang diberikan menerusi cabutan bertuah ini adalah kerana sumbangan dan dedikasi mereka kepada kelab penyokong itu sejak ditubuhkan, kira-kira tujuh tahun yang lalu.

“Objektif utama adalah untuk mengumpul semua penyokong-penyokong Manchester United di bukan hanya di Sabah tetapi di Malaysia.

“Menerusi penubuhan kelab ini juga, kita memberi peluang kepada ahli-ahli kita untuk pergi ke Old Trafford dan melihat pasukan Manchester United bermain. Sejak tujuh tahun lalu, kita telah menerbangkan lebih 400 ahli kita pergi ke Old Trafford," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 8:34pm
d