mutakhir

Kota Belud banjir

Oleh Recqueal Raimi

SEBANYAK 17 kampung di Kota Belud terjejas akibat banjir susulan hujan lebat selama empat jam sejak 4 petang, semalam.

Bagaimanapun, setakat malam tadi tiada penduduk yang dipindahkan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Kota Belud, Paulina Francis berkata, hujan turut menyebabkan Sungai Tempasuk mencecah paras bahaya pada 5.12 meter (m) sehingga melimpah ke kawasan berhampiran.

"Kawasan rendah termasuk jalan raya di 17 kampung dinaiki air sejak 6.30 petang.

"Pada masa sama, Jalan Kampung Kerang Benai, Jalan Kampung Bobot, Jalan Kampung Linau, Jalan Siasai Tamu, Jalan Kampung Kota Belud dan Jalan Kampung Menunggui turut dinaiki air serta tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

"Kita menjalankan pemantauan secara berkala dan bersiap sedia untuk membantu jika penduduk perlu berpindah," katanya ketika dihubungi NSTP.

Menurutnya, kampung yang terjejas ialah Bobot, Ejuk, Siasai Tamu, Kota Belud, Menunggui, Sembirai, Lingkodon, Linau dan Kampung Gunding, Tanjung Pasir, Wakap, Kerang Benai, Donggoi, Sadok-sadok, Marajah, Lebak Engad dan Keranjangan.

"Pengguna kenderaan disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu di Jalan Kampung Piasau - Jalan Kampung Tambulion," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 8:36am
d