mutakhir

Sekeluarga parah rempuh lembu, papan tanda

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Lipis: Enam sekeluarga parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dinaiki mereka melanggar seekor lembu dan papan tanda di Kilometer 86 di Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 tengah malam itu, Azman Wan Ali, 53, yang memandu kenderaan terbabit isterinya, Wan Zuraida Wan Yusof, 53, dan empat anak mereka, Wan Ahmad Azri Asyraf, 22; Wan Nurul Naziha, 17; Wan Ahmad Azri Aiman, 13, dan Wan Ahmad Azri Asyrin, 15, masing-masing tidak sedarkan diri.

Semua mereka itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang, Kelantan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati pemandu MPV dipercayai tidak menyedari terdapat seekor lembu berada di tengah jalan sebelum melanggar haiwan berkenaan.

“MPV dinaiki enam sekeluarga itu kemudian terbabas dan melanggar pula papan tanda menyebabkan dua daripada mangsa tercampak keluar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibantu orang awam dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, polis masih belum mengambil keterangan lanjut berhubung kejadian itu kerana mangsa masih berada dalam keadaan separuh sedar.

Azry berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian keadaan di kawasan itu agak gelap kerana tidak berlampu manakala jalan kering serta cuaca baik.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 9:49am
d