mutakhir

Jejaki tragedi Srebrenica [METROTV]

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Perlu menunggang motosikal berkuasa tinggi di jalan tidak berturap, berbatu dan di tepi tebing curam berketinggian 100 meter.

Itu antara cabaran bakal dihadapi 28 peserta Kembara Kebajikan ke Bosnia anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care Malaysia) dan Kelab BMW Motorrad Malaysia dalam misi 21 hari.

Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan berkata, misi itu bagi memperingati tragedi Srebrenica yang mengorbankan 8,000 umat Islam di Bosnia pada 1995.

Beliau berkata, kembara membabitkan 28 peserta termasuk sembilan pasangan suami isteri itu akan merentasi sembilan negara melalui jalan darat sejauh 4,500 kilometer (km) menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

“Kita akan bermula di Frankfurt, Jerman seterusnya Austria, Slovenia, Croatia, Bosnia, Montenegro, Itali, Switzerland dan Serbia.

“Perjalanan ini dijangka mencabar kerana perlu melalui beberapa off road di tebing curam setinggi 100 meter ke bawah selain cuaca sejuk sehingga 12 darjah Celsius.

“Kebanyakan peserta kembara ini kali pertama mengikuti misi kami dan ia diharap berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini,” katanya pada Majlis Pelepasan Peserta Kembara Kebajikan ke Bosnia Muslim Care Malaysia dan Kelab BMW Motorrad Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Majlis pelepasan itu disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Wilayah Tengah Kelab BMW Motorrad Zuhairi Abdullah.

Kembara kebajikan itu adalah inisiatif bersama Muslim Care Malaysia, Kelab BMW Motorrad dan Rasniaga Builders Sdn Bhd.

Zulkifli berkata, 500 mashaf al-Quran akan diagihkan termasuk sumbangan barang keperluan harian dan makanan kepada masyarakat Islam di perkampungan Slavenica, Bosnia.

“Kami juga akan mengadakan aktiviti dakwah kepada penduduk di kawasan terbabit selain membuat pemerhatian lain untuk merancang bantuan selanjutnya yang diperlukan mereka,” katanya.

Peserta, Roslan Mohd Arshad, 54, berkata, dia teruja menyertai misi berkenaan yang menggabungkan kerja kebajikan dan dakwah kepada umat Islam di Bosnia.

Roslan yang menyertai misi itu bersama isteri, Sarie Abdul Rahim, 52, berkata, ini kali pertama mereka menyertai kembara di luar negara dan sebelum ini hanya menjelajah dalam negara saja menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 9:52am
d