mutakhir

Suspek tidak sedar pegang pisau, tikam ibu...

Oleh Siraj Mohd Zaini

MOTIF utama kejadian ibu maut akibat ditikam anak kandungnya di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada petang Jumaat lalu, dipercayai akibat kemurungan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, perkara itu disahkan menerusi siasatan lanjut terhadap suspek dan bapanya sendiri.

Menurutnya, suspek berusia 20 tahun itu pernah bersekolah di sebuah maahad tahfiz sejak berusia 13 hingga 16 tahun.

Bagaimanapun, katanya, suspek membuat keputusan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian pada usia 17 tahun dan dia gagal teruk dalam peperiksaan berkenaan.

“Keputusan SPM suspek teruk dan dia mula menghadapi kemurungan sejak itu.

“Suspek adalah anak keenam daripada 10 beradik. Empat daripadanya sudah berkahwin dan ada kerjaya bagus, empat lagi di sekolah berasrama penuh dan seorang lagi di sebuah universiti di Indonesia.

“Bapanya juga mengesahkan suspek jarang bercakap ketika berada di rumah dan lebih banyak mendiamkan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 2.10 petang, ibu suspek berusia 50 tahun maut di dapur rumahnya selepas dipercayai ditikam di bahagian kepala dan dadanya.

Kejadian hanya disedari bapa dan adik suspek yang pulang ke rumah selepas selesai solat Jumaat.

Mengulas mengenai kejadian itu, Azizan berkata, suspek dikatakan lambat keluar dari bilik airnya dan ditinggalkan oleh bapa serta adiknya yang pergi ke masjid menaiki motosikal.

Katanya, pintu rumah mereka pada waktu itu dikunci dan ibunya sedang membuat kerja rumah di bahagian dapur.

“Ibu suspek dipercayai menyuruh suspek supaya hanya solat di rumah, dan suspek dikatakan menjadi berang kemudian pergi ke dapur. Di tepi sinki rumah terdapat pisau dan suspek mengambilnya

“Menerusi soal siasat polis, suspek mendakwa tidak sedar sudah memegang pisau dan menikam ibunya,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suspek bunuh ibu bebas dadah, alkohol

'Ibu temui ajal ditikam anak kandung'

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 1:01pm
d