mutakhir

'Tak tahu dia sakit' - Dr Wan Azizah

Oleh Norrasyidah Arshad

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak menyangka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei mempunyai masalah kesihatan serius.

Beliau berkata, Mat Shuhaimi tidak pernah memaklumkan lebih lanjut mengenai penyakit dihidapinya selama ini.

“Tak tahu (penyakitnya). Dia (Mat Shuhaimi) cakap sakit saraf.

“Tak sangka penyakit melarat. Selalu dia senyum-senyum, nampak berseri-seri dan muda,” katanya ketika ditemui, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Terdahulu, Dr Wan Azizah turut meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi jenazah Mat Shuhaimi.

Dr Wan Azizah berkata, pemergian bekas Setiausaha Politik kepada Mohamed Azmin ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor itu adalah satu kehilangan besar kepada parti berikutan Mat Shuhaimi adalah antara pengasas PKR.

Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di Subang Jaya pada jam 11.10 pagi hari ini.

Mat Shuhaimi yang baru saja dipilih semula menjadi wakil rakyat kawasan itu (sebelum ini dikenali sebagai Seri Muda) bagi penggal ketiga, dipercayai dirawat di pusat perubatan berkenaan sejak awal Jun lalu kerana menghidap penyakit kanser limfoma.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, sebarang isu berhubung pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan dibincangkan selepas ini.

Beliau berkata, penyakit Mat Shuhaimi hanya diketahuinya ketika Allahyarham menghantar surat tunjuk sebab membabitkan ketidakhadirannya ke Majlis Angkat Sumpah Jawatan sewaktu Mesyuarat Pertama DUN Selangor ke-14.

“Lepas tulis surat gagal angkat sumpah, saya baru teliti laporan kesihatannya.

“Baru saya tahu dia mempunyai masalah besar berkaitan kanser,” katanya.

Berita berkaitan

ADUN Sungai Kandis sudah tiada... [METROTV]

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 4:22pm
d