mutakhir

Sultan Nazrin lancar buku sejarah Kesultanan Perak [METROTV]

Oleh Siti Salmiah A Hamid dan Seri Nor Nadiah Koris

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyempurnakan pelancaran buku ‘Perak Sultanate: The Historic Royal Glory of Perak Tengah’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Buku terbitan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu adalah sebahagian usaha dan tanggungjawab sosial UTP dalam memulihara sejarah Kesultanan Perak.

Baginda bertitah, buku itu bukan saja berperanan merungkai kisah sejarah, malah memiliki repositori unik daripada warisan budaya dan peristiwa penting yang membentuk sejarah Kesultanan Perak ketika berpusat di daerah Perak Tengah.

“Sebahagian besar makam Diraja terdahulu terletak di daerah Perak Tengah tetapi tidak berada di satu lokasi, menandakan wujudnya sistem kehidupan agraria nomad dan budaya berkelana.

“Segala peristiwa yang berlaku menjadi tanda bukti Sultan terdahulu bukan saja bertindak sebagai pemimpin tetapi turut merintis, meneroka dan mengasaskan negeri sehingga terbentuknya sebuah kerajaan,” titah baginda.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Sementara itu, Prof Mohamed berkata, naskhah itu ditulis dalam gaya yang mudah difahami bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda khususnya pelajar untuk memahami dan menghargai susur galur Kesultanan Perak yang bermula di Perak Tengah.

Naskhah setebal 144 halaman itu turut memaparkan foto dan keratan akhbar daripada koleksi arkib Pusat Sumber NSTP.

Orang ramai berpeluang memiliki buku yang berharga RM150 itu dengan menghubungi 05-3688686 atau e-mel kepada Pengarang di shahrina_mnordin@utp.edu.my.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 6:05pm
d