mutakhir

Warga emas maut diragut

Oleh Ibrahim Isa

LELAKI, 66, maut selepas diragut dalam kejadian berhadapan sebuah restoran di Jalan Sri Pelangi, Taman Sri Pelangi di Johor Bahru, awal pagi semalam.

Mangsa, Wang Sue Jing yang beralamat terakhir di Pekan Nenas, Pontian, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada 2.10 petang hari sama.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.10 pagi sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati mangsa terbaring berlumuran darah dan dikejarkan ke HSA untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal menerusi rakaman litar kamera tertutup (CCTV) mendapati, mangsa bekerja sebagai pembantu kedai berjalan kaki seorang diri membawa beg silang tiba-tiba dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal dipercayai Yamaha Lagenda merah dari arah belakang sebelum meragut beg silangnya.

“Suspek terus merentap beg silang mangsa menyebabkan warga emas itu terjatuh dan tidak sedarkan diri kerana mengalami kecederaan di kepala,” katanya.

Beliau berkata, saksi hanya memberitahu ternampak motosikal dinaiki dua lelaki memecut laju meninggalkan tempat kejadian, manakala mangsa pengsan di jalan raya.

Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di HSA akibat darah beku di dalam otak.

Dalam pada itu, Shahurinain berkata, susulan kejadian, polis menahan empat lelaki dalam dua tangkapan berbeza bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Keempat-empat suspek ditahan reman sehingga 6 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di talian 07-2218999 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Reseman Ajiman menerusi 012-3408166.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 9:03pm
d