mutakhir

Bimbang keselamatan penduduk

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PENDUDUK sekitar pekan Kuala Nerang, Padang Terap, bimbang apabila menara telekomunikasi dibina berhampiran kawasan kediaman mereka, sejak bulan lalu.

Penduduk mendakwa, menara telekomunikasi terbabit didirikan atas tanah paya menyebabkan strukturnya tidak kukuh dan boleh membahayakan nyawa sekiranya tumbang.

Bagi penduduk Taman Seri Kenangan, Zulfadzli Zakaria, 38, dia mendapati pembinaan menara itu dilakukan secara cepat dan tergesa-gesa.

"Kerja pembinaan bermula pada Jun lalu, pihak kontraktor menambak tanah beberapa hari sahaja sebelum terus memacak besi pencawang telekomunikasi.

“Penduduk bimbang kerana kawasan itu selama ini menjadi tempat takungan air apabila hujan lebat dan tanah yang ditambak itu boleh mendap," katanya ketika ditemui semalam.

Zulfadzli berkata, menara telekomunikasi yang dibina terlalu dekat dengan kawasan perumahan juga boleh mengundang masalah kesihatan terutama kanak-kanak berikutan radiasi yang dipancarkan struktur terbabit.

Penduduk Taman Saujana, Yatiman Ya, 47, berkata, pihak kontraktor memagar tapak menara itu bagi mengelak ia diceroboh.

Katanya, sudah terdapat beberapa kes kanak-kanak dan orang kurang siuman memanjat menara itu hingga boleh membahayakan keselamatan mereka.

“Apabila pekerja pembinaan itu pulang, ada kanak-kanak mengambil kesempatan memanjat menara yang tidak berpagar.

"Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengalihkannya ke kawasan lebih selamat atau jauh daripada penduduk bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Fathullah Suhaimi Ismail berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada kontraktor supaya menghentikan kerja pembinaan.

Katanya, menara telekomunikasi ini didapati dibina tanpa kebenaran Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) dan notis arahan berhenti kerja sudah ditampal di tapak projek sejak dua hari lalu.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 10:49am
d