mutakhir

Cemas 'diculik' lebih tiga jam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI berdepan detik cemas selepas lebih tiga jam berada dalam tahanan penjenayah yang melarikan barang berharga serta kereta miliknya dalam kejadian di tempat rehat berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Muhammad Qusyairi Khaliluddin, 25, memberhentikan kereta Perodua Viva miliknya di lokasi terbabit kerana mahu berehat akibat pening kepala.

Menurutnya, ketika berehat, seorang lelaki keluar dari sebuah kereta Perodua Axia yang berhenti berhampiran kereta miliknya dan masuk ke dalam kenderaannya dengan mengacu gunting.

Katanya, lelaki itu kemudian memaksanya masuk ke dalam kereta Perodua Axia yang dipandu rakannya sebelum mereka termasuk mangsa menuju ke Taman Sri Manja, Petaling Jaya.

“Sepanjang dalam perjalanan itu, saya dipukul oleh lelaki terbabit menggunakan kayu dan dia mengambil dompet serta telefon bimbit sebelum meminta kata laluan kad juruwang automatik (ATM) milik saya.

“Mereka singgah di stesen minyak untuk mengeluarkan wang daripada kad ATM saya sebelum meneruskan perjalanan menjemput seorang lagi rakan mereka di sekitar Taman Sri Manja.

“Rakan suspek itu turut memukul saya sebelum saya dihantar semula ke lokasi saya ‘diculik’,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhammad Qusyairi berkata, selepas beberapa jam kemudian, mereka tiba di tempat rehat berkenaan, namun kelibat anggota peronda lebuh raya yang berada di lokasi itu menyebabkan penjenayah berkenaan memandu kenderaan itu di kawasan sekitar.

“Bagaimanapun, mereka kembali ke lokasi itu semula selepas melihat kelibat anggota peronda polis tidak kelihatan.

“Seorang daripada penjenayah itu bawa lari kereta saya, sementara saya ditinggalkan di sekitar Bukit Jalil sebelum dibantu seorang lelaki penghantar makanan yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan pada 8.45 malam.

“Lelaki itu membawa saya ke Balai Polis Bukit Jalil untuk membuat laporan sebelum laporan itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia cedera di bahagian belakang akibat dipukul menggunakan kayu oleh penjenayah berkenaan.

“Saya turut kehilangan kereta Perodua Viva, komputer riba, dua telefon bimbit, dompet yang mengandungi kad ATM, dokumen pengenalan diri serta sejumlah wang tunai serta jam tangan,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 12:18pm
d