mutakhir

Panggil saya 'Bro Saddiq'

Oleh BERNAMA

MENTERI Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq Abdul Rahman dilihat tidak mahu mengambil pendekatan 'old school' apabila meminta pegawai kementeriannya memanggil saja beliau sebagai 'Bro Saddiq'.

Malah, menteri termuda negara berusia 25 tahun itu turut mengajak pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyertai beliau bersenam dan 'jogging' supaya dapat melahirkan budaya gaya hidup sihat.

“Panggilan YB (Yang Berhomat) membuat saya rasa seperti sudah berusia. Baik panggil saya Bro Saddiq sahaja.

“Kita perlu terapkan budaya kerja yang baharu. Sebelum masuk kerja atau selepas waktu bekerja, kita boleh pergi jogging. Kita nak pupuk budaya bersukan ini bukan sahaja kepada belia berusia bawah 21 tahun tetapi semua rakyat Malaysia, warga KBS khususnya.

“Dulu ketika zaman belajar, kita semua ‘fit’ dan rajin bersukan, tetapi selepas masuk zaman bekerja, perut dah nampak ke depan. Kita kena aktifkan balik budaya sukan dalam kehidupan harian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pertamanya kepada warga KBS selepas memulakan tugas secara rasmi di Menara KBS, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Ketua Setiausaha KBS Nik Abdul Kadir.

Katanya, KBS juga harus bergerak sebagai satu keluarga dengan mengamalkan budaya kerja yang mesra dan bersantai dengan meletakkan isu protokol di tepi.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 2:28pm
d