mutakhir

Ahmad Kassim dilantik Speaker DUN Kedah, esok?

Oleh Petah Wazzan Iskandar

BEKAS Ahli Parlimen Kuala Kedah Datuk Ahmad Kassim akan dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, esok.

Perkara itu disahkan Pengerusi PKR negeri Dr Azman Ismail, yang mengakui pelantikan Ahmad yang juga wakil PKR menepati hasrat parti berkenaan.

Katanya, pelantikan Ahmad dipersetujui semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) kerana pengalamannya menjadi Ahli Parlimen selain aktif dalam politik.

“Pemilihannya mengambil kira pelbagai faktor antaranya latar belakang, kebolehan mengendali persidangan, pengalaman politik dan keupayaan memimpin. Malah jawatan Speaker adalah kuota untuk PKR.

“Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan kepemimpinan PH Kedah juga amat bersetuju apabila PKR Kedah mengesyorkan nama Ahmad untuk dilantik sebagai Speaker,” katanya yang dihubungi NSTP, hari ini.

Dr Azman berkata, pihaknya juga yakin sokongan daripada tiga ADUN Barisan Nasional (BN) sebenarnya berpihak kepada rakyat yang mahu penyelesaian isu secara bijaksana.

“Semua ADUN daripada pelbagai parti sudah bersedia untuk mengangkat sumpah di Wisma Darul Aman, selain menyaksikan pelantikan Ahmad sebagai Speaker dan seorang wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai Timbalan Speaker,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan terdapat masalah atau sebaliknya, Dr Azman berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi, malah DUN juga mempunyai prosedur yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.

“Sekiranya majoriti ADUN menyebelahi pelantikan Ahmad dan wakil PPBM, isu ini akan selesai dengan baik tetapi jika apa yang diharapkan esok tidak terjadi, kita semua perlu terima kesan daripada tindakan itu (Pilihan Raya Negeri),” katanya.

NSTP hari ini melaporkan isu pelantikan Speaker dianggap sudah selesai apabila pelantikannya akan dimuktamadkan pada sidang pertama DUN esok.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 7:01pm
d