mutakhir

Macam orang biasa...

Oleh Manan Samad

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya menaiki pesawat komersial ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan Ulaanbaatar, Mongolia, 7.30 malam ini untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR).

Persidangan itu juga adalah lawatan kerja rasmi pertama beliau ke luar negara sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Mei lalu.

Ketibaan Dr Wan Azizah yang mengetuai delegasi Malaysia selepas transit kira-kira enam jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun, disambut Duta Besar Malaysia ke China/Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya.

Hadir sama dalam rombongan itu Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana

Kebangsaan (NADMA), Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Selain NADMA, delegasi negara kira-kira 15 orang turut membabitkan wakil daripada Universiti Teknologi Mara (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Mercy Malaysia.

Sebelum itu, Zainuddin dalam sidang media bersama wartawan Malaysia berkata, Dr Wan Azizah menolak peluang menaiki pesawat rasmi kerajaan walaupun sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau boleh berbuat demikian.

Beliau berkata, Dr Wan Azizah juga hanya mahu menginap di bilik biasa Hotel Shangri-la di sini.

"TPM sendiri yang membuat keputusan itu kerana baginya ia lebih menjimatkan.

"Ia juga sebahagian langkah berjimat cermat kerajaan," katanya.

AMCDRR edisi kelapan ini berlangsung dari hari ni hingga Jumaat ini.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya terbabit dalam persidangan itu esok sebelum dijadual berlepas pulang 8.40 pagi Khamis.

Berita berkaitan:

TPM terbabit lima acara penting

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 8:35pm
d