mutakhir

Tuan Faisal meninggal lepas lafaz ikrar

Oleh Audrey Dermawan

PEGAWAI polis meninggal dunia selepas mengetuai bacaan ikrar pada Majlis Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, Deputi Superintendan Ahmad Faisal Ahmad Jalaldin, 51, yang berdiri dalam barisan ketika Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan menyampaikan ucapan, tiba-tiba rebah menyebabkan semua yang hadir terkejut.

Beberapa pegawai dan anggota polis bertindak membawa mangsa ke sebuah bilik untuk memberikan rawatan kecemasan.

Thaiveegan turut berhenti berucap dan mengarahkan pegawainya menghubungi ambulans yang tiba tidak lama kemudian.

Ahmad Faisal dibawa ke hospital, tetapi disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Thaiveegan menyifatkan mangsa sebagai pegawai yang berdedikasi, rajin dan sentiasa bersedia berkhidmat.

“Kami akan merinduinya,” katanya yang ditemui selepas mengetuai pegawai polis kontinjen Pulau Pinang menziarahi keluarga Allahyarham, hari ini.

Sementara itu, akaun Facebook (FB) PDRM Pulau Pinang dipenuhi ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Bekas pegawai polis, Chong Ah Chai menulis, Ahmad Faisal seorang pegawai kanan yang amat baik.

“€œSalam takziah...memang seorang pegawai kanan yang amat baik... April saya pergi Penang (Pulau Pinang) bertugas, dia membantu saya dengan baiknya...amat dihargai.”€

Inspektor Sures Taran dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPDSPS) menulis, Ahmad Faisal akan dirindui.

“€œKami akan merindui tuan... pegawai polis yang baik. Takziah kepada keluarganya.”

Ahmad Faisal mula berkhidmat sejak 1991 dan bertugas di IPK Pulau Pinang bermula 2010.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 10:43pm
d