mutakhir

Tak sekat, hanya kawal

Oleh Wartawan NSTP

TIADA sebarang arahan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyekat petugas media membuat liputan kes pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kehadiran pihaknya adalah bagi menjalankan kawalan keselamatan dan bukannya menghalang petugas media menjalankan tugas.

“Tiada sekatan dikenakan kepada mana-mana petugas media, kami berada di Kompleks Mahkamah untuk menjalankan kawalan keselamatan.

“Maka dakwaan mengatakan polis tidak membenarkan petugas media masuk ke kamar mahkamah adalah tidak benar, cuma apabila ruang mahkamah penuh, kami tidak membenarkan wartawan masuk, kerana ruang di dalam mahkamah adalah terhad,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mazlan berkata, kawasan Kompleks Mahkamah adalah kawasan larangan dan ada peraturan yang perlu dipatuhi.

“Kami minta orang ramai yang berada di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mematuhi peraturan dan arahan petugas polis.

“Jangan cuba melakukan perkara yang menyalahi peraturan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy ketika dihubungi berkata, pihaknya melakukan kawalan keselamatan seperti biasa.

Katanya, orang ramai yang berada di sekitar perkarangan konpleks mahkamah diminta mematuhi arahan polis yang bertugas.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 9:20am
d