mutakhir

'Awang hitam' kantoi edar dadah

Oleh Hasbi Sidek

DUA lelaki warga asing yang giat menjalankan aktiviti pengedaran ganja di sekitar Subang Jaya tumpas, selepas mereka ditahan bersama dadah berkenaan seberat 3.3 kilogram dengan nilai dianggarkan RM10,000 di rumah di Jalan SS15/4C, kelmarin.

Dua lelaki masing-masing warga Senegal dan warga Ghana yang ditahan 9.30 malam itu turut dipercayai mengedar dadah kepada rakan senegara dan penuntut kolej di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, lelaki warga Senegal berusia 29 tahun didapati tidak mempunyai dokumen yang sah, manakala suspek warga Ghana berusia 27 tahun adalah penuntut kolej swasta.

"Hasil risikan yang dijalankan, anggota kami dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) melakukan pemeriksaan di rumah kedai di Jalan SS15/4C dan mendapati dua lelaki warga asing berada dalam kediaman itu.

"Hasil pemeriksaan kami menemui dua beg, satu daripada beg pakaian itu berkunci. Pemeriksaan pada poket seluar jeans yang tergantung menemui 14 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja saiz kecil selain menemui kunci beg pakaian," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata, menggunakan kunci yang ditemui pada jeans, pihaknya membuka beg berkenaan sebelum menemui tiga ketulan mampat daun kering dengan setiap satunya seberat 1 kilogram.

"Jumlah berat keseluruhan dadah yang dirampas seberat 3.3 kilogram dan dengan nilai pasaran ketika ini, harganya mencecah RM10,000. Pihak kami turut merampas wang tunai RM500, telefon bimbit, pasport, kunci rumah dan seluar jeans berkenaan.

"Kedua-dua suspek didapati mengedar ganja kepada rakan senegara dan kami tidak menolak kemungkinan mereka turut menjualnya kepada penuntut kolej di daerah ini sejak enam bulan lalu. Kami percaya dengan penahanan dua lelaki ini, akan ada tangkapan susulan yang berkait dengan sindiket.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam (Selasa) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 11:45am
d