mutakhir

Polis tahan suspek cuba samun eksekutif

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TINDAKAN eksekutif komunikasi sebuah syarikat menjerit meminta pertolongan kepada polis berjaya menyelamatkannya daripada disamun tiga lelaki di Kunci Air Salleh, Kampung Gajah, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi, mangsa wanita, 31, memandu kereta Proton Saga yang turut dinaiki seorang suspek yang baru dua minggu dikenali menerusi aplikasi WeChat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebelum itu mangsa mengambil suspek di Jambatan Dato' Sagor selepas lelaki berkenaan mengajaknya menonton perlawanan Piala Dunia 2018 di sebuah kedai makan.

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa memandu ke kunci air berkenaan dan apabila tiba di lokasi, dua motosikal dinaiki dua individu lain menghimpit kereta dipandu mangsa.

“Seorang daripada lelaki menaiki motosikal bertindak menghunus pisau ke arah mangsa melalui tingkap kereta, manakala suspek yang berada di dalam kereta bertindak merampas kunci kenderaan itu dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan kesemua barangan berharga.

“Bagaimanapun sebelum sempat mangsa menyerahkan barang diminta, sebuah kereta peronda polis melalui kawasan itu lalu mangsa menjerit meminta tolong menyebabkan ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, polis mengejar suspek yang melarikan diri melalui jalan kebun sawit menghala ke Kampung Pasir Garam sebelum sebuah daripada motosikal ditunggang seorang suspek terbabas, manakala sebuah lagi dinaiki dua rakannya dipercayai berusia 20-an berjaya melarikan diri.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah serta saringan ujian air kencingnya didapati positif methamphetamine.

“Motosikal suspek turut dirampas dan kes disiasat mengikut

Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, mangsa mendakwa baru mengenali salah seorang daripada suspek, bulan lalu dan pernah bertemu sekali sebelum ini.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 12:08pm
d