mutakhir

Menanti sang bedal [METROTV]

Oleh Mohd Nazllie Zainul

JABATAN Hidupan Liar (JHL) Sabah memasang dua perangkap buaya di sekitar Tasik Teluk Likas, Kota Kinabalu, susulan laporan penemuan reptilia itu, baru-baru ini.

Perangkap pertama dipasang petang semalam, manakala yang kedua diletakkan pagi tadi susulan aduan dan visual mengenai kehadiran buaya di kawasan berkenaan.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, ini kali pertama pihaknya menerima laporan berkaitan buaya di tasik berkenaan, namun berdasarkan laporan sebelum ini, JHL pernah menangkap reptilia itu di parit bersebelahan, kira-kira 15 tahun lalu.

"Tasik ini sering menjadi tumpuan kaki pancing terutama ketika hujung dan cuti umum, selain terletak berhampiran lokasi kediaman serta kampung.

"Sehubungan itu, JHL memandang serius setiap aduan orang awam yang dikaitkan dengan hidupan liar kerana bimbang haiwan berkenaan boleh mengancam nyawa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Augustine berkata, pihaknya sukar menjangka berapa lama haiwan terbabit dapat ditangkap, namun pemerhatian serta pemantauan berterusan akan dijalankan.

"Selalunya kita meletakkan perangkap antara tiga hingga empat hari, manakala pemeriksaan dibuat dua kali sehari pada sebelah pagi serta lewat petang.

"Bagaimanapun, JHL akan memasang papan tanda amaran secepat mungkin agar orang awam tidak melakukan sebarang aktiviti di lokasi ini sehingga buaya itu dapat ditangkap," katanya.

Tinjauan NSTP mendapati, sekumpulan anggota Unit Penyelamat Hidupan Liar JHL Sabah giat memasang perangkap buaya untuk diletakkan dalam tasik terbabit, pagi tadi.

Sementara itu, penduduk Kampung Likas, Asip Jelison, 35, berkata, dia yang sudah menetap di kampung itu sejak 20 tahun lalu sering mendengar kewujudan buaya di tasik berdekatan Masjid Bandaraya terbabit, namun baru kali ini melihat bukti secara visual yang diperoleh daripada rakannya.

Asip berkata, dia berharap buaya di kawasan itu dapat ditangkap secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 2:26pm
d