mutakhir

Kesian dia kesejukan...

Oleh Farah Suhaidah Othman

BAYI perempuan masih bertali pusat ditemui diletakkan dalam beg kertas yang digantung pada cermin sisi kereta di pangsapuri di Jalan Raja Ashman Shah, Ipoh, malam tadi.

Difahamkan, bayi malang itu ditemui oleh seorang lelaki pada 12.15 tengah malam selepas mendengar tangisannya dipercayai akibat kesejukan dan lapar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Katanya, bayi terbabit dipercayai baru dua hari dilahirkan dan kini berada dalam keadaan stabil serta masih dirawat di hospital berkenaan.

"Polis menerima maklumat penemuan bayi itu malam tadi dalam keadaan masih hidup sebelum dibawa ke HRPB untuk menerima rawatan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurut sumber, bayi berkenaan ditinggalkan kira-kira 8.30 malam sebelum ditemui empat jam kemudian.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 2:45pm
d