mutakhir

Tiada tangkapan terhadap 'kaki kecoh'

Oleh Wartawan NSTP

POLIS mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat susulan kekecohan kecil yang berlaku sewaktu sidang media Peguam Negara, Tommy Thomas di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya hanya mengeluarkan amaran kepada individu berkenaan supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi.

Katanya, polis turut mengarahkan mereka supaya meninggalkan perkarangan kompleks mahkamah berkenaan.

“Apa yang berlaku hanyalah kekecohan kecil, kita sudah mengeluarkan arahan kepada individu terbabit supaya keluar dari kawasan lobi Kompleks Mahkamah.

“Mahkamah bukanlah tempat yang kita boleh menjerit dan membuat bising.

“Kita tidak melakukan sebarang tangkapan, kita hanya keluarkan amaran, mereka yang berkenaan menerima amaran dan nasihat kami dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Terdahulu, sidang media oleh Thomas terpaksa ditangguhkan selepas penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjerit dan mendesak agar sidang media dibuat dalam bahasa Melayu.

Antara yang didakwa memulakan kekecohan itu adalah dua orang wanita.

Sidang media itu kemudian diadakan di tingkat lima Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Sementara itu, Munusamy berkata, pihaknya menugaskan seramai 200 pegawai dan anggota dalam kawalan keselamatan, hari ini.

Berita berkaitan

'Kecoh mahu bahasa Melayu'

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 3:01pm
d