mutakhir

Riza perlu hadir sekali lagi ke SPRM, esok

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

RIZA Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sekali lagi hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini, memberi keterangan selama enam jam bagi membantu siasatan berhubung skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber, Riza, 48, akan sekali lagi hadir ke SPRM bagi menyambung keterangannya jam 10.30 pagi esok.

Terdahulu, Riza, 48, yang memakaikan sut gelap tiba di ibu pejabat SPRM pada 3.05 petang kemudian dilihat masuk ke pejabat suruhanjaya itu dengan ditemani peguamnya, Datuk M Kumaraendran.

Beliau kemudian dilihat keluar pada jam 9 malam tadi menaiki Audi hitam, namun tidak memberikan sebarang komen dan enggan menurunkan cermin kenderaan ketika kenderaan dihampiri pemberita.

Semalam, beliau memberikan keterangan selama sembilan jam kepada SPRM bagi membantu siasatan skandal syarikat itu.

Riza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures iaitu syarikat penerbitan filem Hollywood yang didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sejumlah AS$64 juta diselewengkan daripada 1MDB dipindah kepada Red Granite untuk membiayai penerbitan beberapa filem Hollywood termasuk The Wolf Of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Riza juga dituduh menggunakan wang itu untuk membeli hartanah mewah daripada ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low.

SPRM sejak akhir Mei lalu mula memanggil beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB membekukan 408 akaun termasuk akaun UMNO negeri dan pusat membabitkan jumlah RM1.1 bilion bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan bahawa akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 9:45pm
d