mutakhir

Kawalan keselamatan, trafik sudah sedia

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

POLIS bersedia sepenuhnya bagi mengawal keselamatan dan kelancaran trafik sempena Program Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) peringkat kebangsaan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Bagan Serai, Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kesesakan trafik dijangka berlaku di beberapa jalan utama termasuk lokasi program bakal dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PPBM.

“Antara laluan dijangka mengalami kesesakan adalah di Jalan Taiping-Butterworth (lampu isyarat Simpang Empat Semanggol), Jalan Kerian iaitu dari Simpang Empat Semanggol menghala ke Simpang Tiga Gunong Semanggol dan Plaza Tol Bukit Merah iaitu pergerakan masuk kenderaan dari arah utara (Pulau Pinang) dan Selatan (dari Ipoh).

“Sekiranya berlaku kesesakan teruk, polis mengambil pendekatan dengan membuat lencongan dari dua hala menjadi satu hala bermula di susur masuk ke BMLR, manakala kenderaan yang keluar dari lokasi majlis akan dilencongkan ke Jalan Kampung Selamat (hala jalan Taiping dan Tol Bukit Merah),” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Beliau berkata, pengunjung dinasihatkan membuat perancangan teliti dan hadir lebih awal pada hari berkenaan bagi mengelakkan kesesakan.

Katanya, bagi aspek keselamatan pula, polis akan menyediakan balai polis bergerak selain menempatkan anggota yang mencukupi untuk memastikan keselamatan pengunjung.

“Tinjauan unit udara akan dilakukan serta penugasan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan unit MPV bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah berlaku.

“Pengunjung tidak perlu bimbang tentang tempat letak kenderaan kerana empat kawasan parkir disediakan yang mampu memuatkan kira-kira 2,500 kenderaan.

“Bagi tempat letak kereta A, ia dikhaskan kepada kakitangan penganjur dan orang kenamaan manakala B, C dan D dibuka kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata, kemuncak program dijangka pada 3 hingga 4 petang iaitu waktu ketibaan tetamu terhormat termasuk Perdana Menteri.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 12:29am
d