mutakhir

Tanjung Pelepas antara terbaik dunia [METROTV]

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Kemudahan pelabuhan menjadi komponen penting dalam pembangunan ekonomi negara ini apabila mencatatkan sejumlah 23.9 juta TEU (unit bersamaan kontena 20 kaki), sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Mohd Khairul Adib Abdul Rahman berkata, jumlah berkenaan jauh berbeza berbanding 4.6 juta TEU yang dicatatkan pada 2000.

Katanya, perkara itu juga disokong dengan nilai keseluruhan kargo yang dikendalikan di pelabuhan negara ini iaitu berjumlah RM480 bilion iaitu kira-kira 40 peratus jumlah perdagangan luar Malaysia.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, pertumbuhan pelabuhan di negara ini menunjukkan prestasi memberangsangkan terutama bagi dua pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas.

“Kedua-dua pelabuhan ini juga dinobatkan antara 20 pelabuhan ternama di dunia yang mana pada tahun lalu, Pelabuhan Klang berada pada tangga ke-13 dan Tanjung Pelepas di tangga ke-19,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Pelabuhan dan Penghantaran ASEAN ke-16 di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan LPJ (Tanjung Pelepas) Datuk Abdul Rahim Ramli, Pengurus LPJ Muhammad Razif Ahmad dan Pengarah Urusan Transport Event Management Rory J Doyle.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 7:56am
d