mutakhir

'Jangan tangkap suami aku!'

Oleh Junaidi Ladjana

WANITA ditahan kerana menyerang anggota polis dengan pisau ketika cuba menghalang suaminya daripada dibawa ke balai kerana disyaki terbabit kes curi kenderaan, di Penampang, kelmarin.

Dalam kejadian 5 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang membuat pemeriksaan di satu unit kediaman di apartmen di sini, susulan maklumat berkaitan kes curi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik tiba di hadapan rumah itu, seorang wanita enggan memberi kerjasama dan tidak membenarkan anggota polis masuk untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas berunding 15 minit, anggota polis dibenarkan masuk dan selepas menjalankan pemeriksaan, suami wanita itu ditemui bersembunyi dalam almari.

"Wanita terbabit kemudian berlari ke dapur dan mengambil pisau untuk menyerang anggota polis, dipercayai bagi menghalang polis daripada menahan suaminya.

"Polis cuba menghalang, namun wanita itu mengugut mencederakan diri sendiri. Seorang anggota yang cuba menghalang dan merampas pisau cedera di ibu jari tangan kanan.

"Bagaimanapun, anggota polis kemudian berjaya menahan wanita berusia 34 tahun itu dan suaminya sebelum dibawa ke IPD Penampang," katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohd Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya memberi kerjasama kepada polis yang menjalankan tugas dan tidak melakukan kekerasan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 9:48am
d