mutakhir

Demi duit, keselamatan terancam

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SIKAP gelap mata dengan habuan bulanan yang mencecah ribuan ringgit menyebabkan pemilik tanah dan pemaju didakwa sanggup berkomplot bagi mendirikan menara telekomunikasi secara haram.

Pengerusi Forum Pengguna, Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Mohd Yusrizal Yusoff berkata, sehingga kini pihaknya sudah menerima sembilan laporan membabitkan pembinaan menara telekomunikasi secara haram di seluruh negara.

Katanya, kebanyakan aduan yang diterima adalah membabitkan pembinaan menara haram di kawasan pedalaman seperti di Kuala Nerang, Baling, Kedah dan Taiping, Perak.

"Saya yakin lebih banyak kes seperti ini berlaku di kawasan pedalaman cuma tiada laporan di buat, sebenarnya kes macam ini berlaku disebabkan mengejar keuntungan, pemilik tanah dan pemaju akan menerima sewa bulanan daripada syarikat telekomunikasi, jadi ramailah yang ambil kesempatan.

"Sepatutnya sebelum pemaju dan pemilik tanah mendirikan menara, mereka perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu berdialog dengan penduduk dan perlu mendapat persetujuan mereka tanpa bantahan, satu lagi menara boleh dibina jika ada permintaan penduduk kerana taliannya terlalu lemah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pembinaan menara haram di Taman Seri Kenangan, Padang Terap, selepas pendedahan media kelmarin.

Mohd Yusrizal berkata, hasil pemeriksaan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati pembinaan menara itu tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) dan pembinaannya dianggap secara haram.

Katanya, CFM sudah memaklumkan perkara itu kepada MDPT untuk diambil tindakan segera supaya menara itu dirobohkan oleh pemaju berikutan ia dibina di atas tanah berpaya dan berhampiran rumah penduduk.

"Kebanyakan kes seumpama ini mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan kerana ramai yang tidak tahu mana untuk membuat aduan, orang ramai dan penduduk yang curiga dengan pembinaan pencawang boleh menghubungi CFM supaya siasatan dapat dilakukan,"katanya.

Kelmarin, NSTP melaporkan penduduk di taman berkenaan bimbang apabila menara telekomunikasi dibina berhampiran kawasan kediaman mereka sejak bulan lalu.

Penduduk mendakwa, menara telekomunikasi terbabit didirikan atas tanah paya menyebabkan strukturnya tidak kukuh dan boleh membahayakan nyawa sekiranya tumbang.

Berita berkaitan

Bimbang keselamatan penduduk

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 10:27am
d