mutakhir

JPJ buka tempahan plat RY

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis membuka tender tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan 'RY’ kepada orang awam bermula hari ini hingga 12 tengah hari, 18 Julai ini.

Ketua Bahagian Korporat, Mohd Tarmizi Ghazali berkata, pihaknya menjangkakan ia mendapat sambutan apabila gabungan huruf RY adalah siri terakhir dua huruf bagi nombor pendaftaran Perlis.

Sebelum ini, katanya, kutipan tertinggi hasil daripada tender nombor pendaftaran Perlis adalah lebih RM12 juta bagi plat RR.

"Kami jangka RY mendapat kutipan tertinggi kerana kombinasinya boleh menggabungkan nama suami isteri atau bapa atau ibu.

"Harga nombor terbabit dibahagi kepada tiga kategori iaitu 1 hingga 10 bermula dengan RM10,000; nombor menarik bermula RM2,000 dan nombor popular bermula RM300," katanya yang dihubungi, hari ini.

Mohd Tarmizi berkata, pihaknya yakin ia mendapat sambutan menggalakkan berikutan banyak panggilan telefon dan individu yang hadir ke JPJ Perlis untuk bertanyakan tarikh pembukaan tendernya.

"Nombor pendaftaran Perlis dianggap unik kerana masih menggunakan dua huruf dan ini adalah yang terakhir dan dijangka tempahannya bergerak pantas seperti negeri lain," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Perlis di sini dan panduan serta syarat-syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman web JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 11:31am
d