mutakhir

Sultan Perak berkenan rasmi sekolah Orang Asli

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di Kampung Orang Asli (KOA) Bawong, Sungai Siput, hari ini.

SMK Bawong yang mula dibina pada 25 November 2013 dengan kos RM26.3 juta membabitkan keluasan enam hektar itu mula beroperasi sejak 19 September 2016 dan kini menempatkan seramai 375 pelajar dan 37 guru.

Sekolah berkenaan mempunyai 20 kelas membabitkan Tingkatan Satu hingga Tiga serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan menjadi satu-satunya sekolah menengah harian di KOA yang memiliki kemudahan asrama lelaki dan perempuan.

Selain itu, ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti makmal sains, makmal komputer, makmal bahasa, bengkel-bengkel dan capaian internet berkelajuan tinggi.

Sultan Nazrin kemudian berkenaan berangkat menghadiri Majlis Santapan Diraja dan Jamuan Rakyat, yang diadakan di sekolah berkenaan.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, turut berkenan berangkat.

Yang turut hadir Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Sementara itu, Maszlee dalam ucapannya berkata, SMK Bawong menempatkan 100 peratus pelajar Orang Asli dan melakar sejarah menjadi sekolah menengah di KOA pertama yang mempunyai prasarana lengkap.

Menurutnya, pembinaan sekolah ini diharap mampu memberikan sumbangan yang lebih bermakna dan menjadi pemangkin bidang pendidikan sekaligus merancakkan pembangunan luar bandar.

“Kerjasama dalam kalangan warga pendidik khasnya di sekolah ini amat penting dalam usaha melahirkan insan cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga terbilang dari segi sahsiah dan peribadi.

“Kini, peranan dan tanggungjawab pendidik semakin mencabar, golongan pendidik dituntut agar memperlihatkan komitmen penuh dalam memikul tanggungjawab secara berterusan demi meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak didik,” katanya.

Maszlee berkata, dalam mendepani dunia tanpa sempadan ini, corak dan gaya pengajaran guru di dalam bilik darjah seharusnya berubah dengan reformasi pengajaran dan pembelajaran perlu berlaku seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini.

Katanya, pembelajaran dan pengajaran guru juga haruslah mampu memberikan keberkesanan dari segi pemahaman murid dan aplikasikannya bagi menyediakan modal insan yang bersesuaian dengan Perkembangan Industri Revolusi 4.0.

“Kementerian Pendidikan sendiri menekankan konsep Pembelajaran Abad ke-21 atau PAK21 yang lebih menyeronokkan murid dan memberikan impak yang tinggi dari segi keberkesanannya.

“Guru-guru tidak lagi wajar sekadar menggunakan buku dan papan tulis seperti guru-guru pada awal kemerdekaan dahulu, hal demikian kerana perubahan zaman memperlihatkan akses kepada ilmu pengetahuan itu sebenarnya dapat dicapai dengan begitu pantas melalui teknologi maklumat,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 12:26pm
d