mutakhir

'Tunggu' makan malam

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Hajat seorang suri rumah menyediakan makan malam untuk keluarganya terbantut apabila dikejutkan dengan kehadiran ular tedung selar sepanjang hampir empat meter di tingkap rumah di sini, malam kelmarin.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap Abdul Satar Abdullah berkata, keluarga terbabit segera menghubungi APM pada jam 8.20 malam bagi membantu menangkap reptilia itu.

Menurutnya, empat anggota dihantar ke rumah berkenaan di Kampung Lekong, Jalan Durian Burung.

“Anggota APM mendapati ular itu melilit bahagian besi tingkap dapur yang ditutupi atap zink.

“Bahagian kepala ular yang sudah terkeluar dari atap zink memudahkan proses menangkap reptilia seberat 12 kilogram (kg) itu menggunakan alat penyepit khas sebelum dimasukkan ke dalam karung,” katanya di Pejabat APM Padang Terap di sini, semalam.

Abdul Satar berkata, ular itu dipercayai masuk ke dalam rumah untuk mencari makanan selain kawasan kediaman yang berhampiran dengan ladang kelapa sawit.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu selain faktor musim buah-buahan menyebabkan banyak ular keluar ke kawasan kediaman untuk mencari makanan dan berada di kawasan sejuk.

“Justeru APM menasihatkan orang ramai berhati-hati dan peka dengan kawasan sekeliling termasuk di dalam rumah sebelum melakukan sebarang aktiviti,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 1:17pm
d