mutakhir

Muzik terapi pulih penagih

Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Berang: Pelik apabila muzik tradisional Melayu digunakan sebagai sebahagian daripada kaedah pemulihan dan terapi kepada golongan penagih dadah.

Namun, ia ternyata memberi kesan mendalam kepada penghuni di Madrasah Khairul Insan, Jenagor, dekat sini.

Kaedah yang dipelopori kumpulan muzik digelar Dendang Anak Jenagor yang diasaskan Kumpulan Anak Jenagor sejak 1999 itu bukan saja dijadikan sebagai kaedah pemulihan, malah ia juga bertujuan mengembalikan adat, sopan santun penghuni yang sebelum ini terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Pengasasnya, Zulkifle Ismail, 60, berkata, terapi itu digunakan untuk penagih berikutan penggunaan kitab secara berterusan membuatkan mereka mudah mengantuk, tertidur dan hilang fokus.

Katanya, kaedah muzik berbentuk ketuhanan dan nasihat bukan saja menjauhkan penghuni daripada terbabit dengan budaya kuning atau tidak sihat, malah menerapkan nilai kemelayuan itu sendiri.

“Saya sudah pun mencipta 500 lagu dan kebanyakan isi lirik menceritakan kebesaran Ilahi serta berbentuk nasihat.

“Kalau kami mahu penghuni menghafal Asma ul-Husna, susah mereka nak ingat tapi saya cipta 99 lagu berdasarkan nama Tuhan, setiap satu nama satu lagu, jadi mereka boleh hafal,” katanya.

Zulkifle atau lebih dikenali sebagai Abang Ku berkata, penerimaan muzik Melayu berbentuk ketuhanan dan nasihat itu kini mula meningkat apabila mereka diundang dalam majlis perkahwinan serta majlis rasmi.

“Mulanya muzik yang didendangkan ini untuk terapi dalam diri namun kami tidak menyangka ia menjadi terkenal sehingga berjaya mewakili negara dalam pertandingan Muzik Dunia sebanyak empat kali. Tahun lalu, kami juga berkesempatan mewakili Malaysia dalam pertandingan muzik di Mesir,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 1:49pm
d