mutakhir

Pastikan pembekal tak letak harga tinggi [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

ENAM premis pemborong dan pembekal barangan runcit di Kawasan Industri Ringan Taman Tun Dr Ismail di Seremban diperiksa anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, hari ini.

Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, Ops Catut 4.0 itu dilakukan bertujuan memeriksa pembekal supaya tidak meletakkan harga tinggi dan tidak munasabah bagi menangani kenaikan harga barangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua pembekal terbabit mematuhi peraturan ditetapkan. Namun, kami KPDNHEP) mengeluarkan notis harga barang bagi enam barangan di dua premis berasingan.

“Kami memandang serius isu kenaikan kos sara hidup dan mahu memastikan ia tidak berlaku di negeri ini. Unit Antipencatutan (UAP) diberi tanggungjawab melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh membabitkan rekod dan dokumen perniagaan termasuk rekod pengeluaran, pembelian serta penjualan di semua peringkat rantaian selaras dengan kehendak perundangan khususnya mekanisme kawalan ditetapkan KPDNHEP.

Katanya, sejak 2015 hingga tahun lalu, UAP merekodkan 24 kes mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 membabitkan denda berjumlah RM119,000 dan kompaun sebanyak RM29,500 manakala sebanyak 347 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 akta sama.

“Bagi tahun ini, dua kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut masih dijalankan sebelum boleh dibawa ke mahkamah.

“Masyarakat perlu menjalankan tugas sebagai pengguna dengan melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah kepada KPDNHEP bagi membolehkan anggota penguat kuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 7:19pm
d