mutakhir

Nooryana persoal akaun bank anak pun dibekukan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

ANAK perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa mempersoalkan sama ada kerajaan berdendam dengan seluruh keluarganya selepas akaun bank peribadi dia dan anak lelakinya dibekukan, semalam.

Menurut laporan portal Malaysia Kini, Nooryana memuat naik luahan berkenaan dalam bahasa Inggeris di laman Facebooknya, hari ini.

“Sebaik selepas saya membayar wang jaminan untuk ayah, semalam dengan wang yang dikumpulkan daripada rakan dan saudara mara, bank saya berkata mereka mendapat arahan untuk membekukan akaun peribadi yang saya gunakan untuk membayar yuran sekolah sendiri.

“Akaun bank anak lelaki saya berusia 10 bulan yang mempunyai simpanan RM100 turut dibekukan dan ia adalah duit raya pertamanya, tahun ini.

“Apa kaitan duit raya saya dengan 1MDB? Adakah ini Malaysia baharu yang kita doakan itu?" katanya.

Difahamkan, selain Nooryana, akaun bank peribadi anak bongsu Najib, Norashman juga dibekukan, hari ini.

Sementara itu, semakan NSTP pada jam 4.30 petang mendapati akaun Facebook Nooryana sudah dinyah aktif.

Najib ditahan malam Selasa lalu dan dihadapkan ke mahkamah pada pagi semalam atas tuduhan jenayah pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah.

Bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan, dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar semalam dan baki sebelum jam 3 petang Isnin depan, bersama dua penjamin.

Selain itu, Najib juga perlu menyerahkan dua pasportnya kepada mahkamah dan 8 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 7:44pm
d