mutakhir

Rafizi, penyokong PH 'bertekak'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

AKIBAT kritis terhadap kerajaan kebelakangan ini, akaun Twitter Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli ‘diserang’ penyokong parti itu.

Malah, ia mencetus ‘perang dingin’ bekas Pengarah Strategi PKR itu dengan penyokong terbabit di laman sosial itu apabila beliau membalas komen tertentu yang disifatkan keterlaluan dan beremosi.

“Banyak penyokong PH berketurunan Cina dan India memaki saya di media sosial kerana tidak suka dengan beberapa pandangan saya akhir-akhir ini.

“Banyak juga yang suruh saya masuk UMNO, seolah-olah PH itu milik mereka. Emosi begini sangat keterlaluan dan PH tidak perlukan sokongan beremosi begini,” katanya menerusi Twitter.

Memberikan beberapa contoh kenyataan berkaitan, beliau juga mendakwa penyokong terbabit hanya menghentam tanpa terlebih dulu meneliti konteks kenyataannya dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Ada dua ‘Tweet’ la. Satu bahasa Melayu satu bahasa Inggeris. Dia terasa, cepat-cepat nak hentam tapi tuduh saya edit ‘post’ dalam bahasa Melayu yang dia baca.

“Sekarang dia baca yang Inggeris, dia kata edit. Penyokong macam ni perlu disekolahkan,” katanya merujuk kepada komen @HerbWongMY bahawa beliau mengedit semula kenyataan awalnya.

Menjawab luahan Rafizi, seorang netizen, Rizal berkata, penyokong terbabit bimbang kenyataan bekas Ahli Parlimen Pandan itu akan menyebabkan Pakatan Harapan (PH) lemah dan berpecah.

“Kebanyakan mereka ini takut pandangan Rafizi akan menyebabkan PH lemah dan berpecah dan menjadi modal pembangkang serang PH. Semua sayangkan PH,” katanya.

Peter Ng Chin Poh pula berpandangan Rafizi tidak sepatutnya memilih untuk ahli politik sekiranya takut dimaki “Kalau rakyat tak beremosi, tiada kerajaan PHlah. Kan YB (Rafizi) dulu pun suruh rakyat beremosi lawan UMNO/BN,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 7:53pm
d