mutakhir

'Kereta aku pula kau bawa lari...'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

NIAT murni suri rumah memberhentikan pacuan empat rodanya bagi membantu mangsa kemalangan, bertukar kisah duka apabila kenderaannya dilarikan pasangan warga Indonesia yang terbabit insiden itu.

Dalam kejadian 10 pagi di hadapan bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dekat Air Bemban di Kulai itu, wanita berusia 53 tahun itu sedang memandu kenderaannya sebelum tiba-tiba Proton Perdana yang dipandu seorang lelaki dan wanita memintasnya sebelum bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemandu wanita itu memberhentikan Toyota Hilux dipandu di tepi jalan untuk membantu mangsa kemalangan.

"Secara tiba-tiba, suspek iaitu pemandu dan penumpang Proton Perdana disyaki warga Indonesia berdasarkan percakapannya datang ke arah mangsa dan bertindak merampas kunci kenderaan mangsa.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek, tetapi suspek berjaya merampas kunci dan seterusnya melarikan pacuan empat roda itu menuju ke arah Kulai," katanya.

Beliau berkata, mangsa bukan sahaja kehilangan Toyota Hilux tetapi barangan peribadi di dalam kenderaannya termasuk MyKad, lesen memandu, wang tunai RM200, peralatan sekolah milik cucunya, geran tanah dan telefon bimbit yang semuanya dianggarkan kerugian RM60,000.

Menurut Dzulkhairi, hasil semakan mendapati Proton Perdana dinaiki pasangan warga Indonesia itu menggunakan nombor pendaftaran palsu yang berdaftar atas sebuah Proton Wira milik sebuah syarikat swasta dan semakan ke atas nombor chasis dan enjin kereta itu dilaporkan hilang.

Katanya, penunggang motosikal Honda Wave, Mohamad Irham Jasman, 20, yang terbabit dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai, tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 7:57pm
d