mutakhir

[UPDATE] Saya kesal melarikan diri...

Oleh Sarah Zulkifli

“KENAPA saya lari? Ini disebabkan pada keesokkannya (selepas lari dari hospital), rumah saya digeledah polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya bimbang dengan keadaan yang berlaku, ditambah pula dengan perubahan politik negara ini ketika itu.”

Begitu kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam rayuannya terhadap pertuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis di Hospital KPJ Ampang Puteri, Ampang, 25 Mei lalu.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali itu, Jamal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan sekali gus pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin.

Pihak pendakwaan memberi alasan bahawa beliau pernah melarikan diri ke Indonesia dan perbuatannya itu menghina mahkamah.

Peguam Izzat Zabir Sariff yang mewakili Jamal membuat rayuan supaya anak guamnya diberikan jaminan,

Jamal yang berada di dalam kandang tertuduh turut merayu kepada mahkamah supaya beliau diberikan jaminan.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai pengetahuan undang-undang berhubung jaminan selepas dituduh di Hospital KPJ Ampang Puteri, pada 25 Mei lalu.

Katanya, tindakan beliau melarikan diri dari negara ini ke Indonesia juga adalah satu pengalaman yang mengerikan.

“Saya kesal kerana melarikan diri dan berjanji tidak akan melakukannya lagi, jika diberikan jaminan.

"Malah, ketika di Sumatera, saya mahu pergi ke Kedutaan Malaysia di Jakarta pada minggu ini, namun sebaik tiba di sana, saya terus ditahan,” kataya.

Katanya, beliau berjanji akan berhadapan dengan apa sahaja pertuduhan dihadapinya untuk membersihkan namanya sebagai pemimpin masyarakat.

Selain itu, Jamal yang sedikit berisi itu sempat mengucapkan 'Selamat Hari Raya' kepada pihak media ketika dalam perjalanan ke bilik mahkamah.

Berita berkaitan

Jamal 'rehat' di Penjara Sungai Buloh

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 9:28pm
d