mutakhir

Amaran Razlan hanya 'tin kosong' - Amar Singh

Oleh Faris Fuad

PENGARAH Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menyifatkan amaran Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii supaya berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai 'tin kosong'.

Amar Singh berkata, beliau tidak mahu membazir masa dan memberi perhatian kepada kenyataan Mohd Razlan.

“Pada masa ini, kes yang dijalankan di mahkamah adalah berkait dengan dana SRC International Sdn Bhd, dan bukannya 1MDB.

“Beliau (Mohd Razlan) boleh berkata apa sahaja, selagi tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang negara ini," katanya pada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Amar Singh berkata, pihaknya sentiasa menjalankan tugas dengan tidak memihak kepada mana-mana individu.

“Kita juga menjalankan tugas tanpa rasa takut dan secara profesional,” katanya.

Semalam, Mohd Razlan dilaporkan memberi amaran itu kepada Amar Singh selepas mendakwa mahkamah mengeluarkan arahan supaya siasatan 1MDB tidak dibicarakan di luar mahkamah sebelum perbicaraan.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan RM42 juta.

Berita berkaitan

Amaran kepada Amar Singh

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 12:08pm
d