mutakhir

Jom bantu...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PEKERJA sambilan restoran makanan segera memerlukan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membiayai pembedahan injap jantungnya yang bocor sejak tahun lalu.

Keadaan itu ditambah pula dengan jangkitan kuman pada paru-parunya membuatkan Muhammad Azrin Che Sulaiman, 30, sering demam, sesak nafas dan tidak boleh melakukan kerja berat.

Katanya, dia tidak lagi mampu mengumpul duit untuk melakukan pembedahan kali kedua berikutan pendapatan hanya RM800.

Sebelum ini, Muhammad Azrin sudah menjalani pembedahan pertama kerana jantung berlubang pada 2010 dengan kos hampir sama.

"Penyakit yang dialami sejak kecil lagi semakin sembuh selepas melakukan pembedahan. Pada awal tahun lalu saya kerap demam serta pitam dan menganggap ia hanya penyakit biasa.

"Susulan pemeriksaan, doktor memaklumkan injap jantung saya sudah bocor termasuk terkena jangkitan kuman pada paru-paru saya," katanya yang berasal dari Taman Seri Tampoi, Padang Terap.

Muhammad Azrin berkata, dia dijadualkan menjalani pembedahan pada 27 Ogos ini di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur tetapi masih bingung untuk mendapatkan wang terbabit.

"Duit simpanan saya sudah habis, sejak mengalami penyakit ini, anggota badan selalu bengkak, letih dan kejang hingga kadang kala tidak mampu bekerja lebih masa yang pastinya menjejaskan pendapatan saya.

"Saya sangat berharap orang ramai dapat membantu supaya saya dapat menjalani pembedahan kali kedua," kata anak ke 11 daripada 13 beradik itu.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Muhamad Azrin menerusi nombor 017-4405058 atau menyumbang ke akaun Maybank 152219042309.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 12:09pm
d