mutakhir

Dalang pelaburan 'auta' babit kerugian RM1.3 juta ditahan

Oleh Amniera Naziera Amran

POLIS menahan dua lelaki termasuk pengasas skim cepat kaya yang disyaki memperdayakan kira-kira 650 mangsa dari Labuan, Sabah dan Sarawak membabitkan kerugian mencecah RM1.3 juta sejak Februari lalu.

Pelaburan itu dipercayai menawarkan pelaburan minimum RM1,800 dengan menjanjikan pulangan RM1,300 sebulan dalam tempoh lima tahun.

Mangsa yang melabur pada kadar maksimum RM37,800 pula dijanjikan pulangan sebanyak RM33,000 sebulan bagi tempoh 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada beberapa peserta mendakwa kerugian hampir RM10,000 apabila gagal mendapatkan semula modal dan bonus selepas beberapa bulan melabur.

Katanya, hasil siasatan polis menahan lelaki warga Indonesia berusia 54 tahun dikenali sebagai Pak Tam di Labuan dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam skim pelaburan itu.

Susulan itu, katanya, polis berjaya menahan lelaki tempatan berusia 23 tahun disyaki pengasas pelaburan terbabit di sebuah restoran di bandar Labuan, semalam.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 9 Julai depan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, suspek tidak mempunyai pejabat dan menggunakan orang tengah untuk mengutip wang dengan ditawarkan komisen menyebabkan ramai mudah terpengaruh.

Katanya, sebanyak 15 item eksibit dirampas termasuk tiga cek bernilai RM444,450, kad ATM pelbagai bank, selain buku cek, dua kad sim dan telefon bimbit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan seumpama itu oleh pihak tertentu kerana ia tidak pernah dibenarkan oleh kerajaan.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 12:16pm
d