mutakhir

30 jam cedok air

Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Seorang nelayan mencedok air bertakung di dalam perahunya sebelum membuang semula ke laut setiap tiga minit hampir 30 jam demi menyelamatkan dirinya daripada lemas di perairan Pulau Mengalum.

Jakarullah Jamali, 58, dipercayai hanyut bersama perahunya sejak Selasa lalu ketika memancing di kawasan perairan berkenaan.

Dia yang berasal dari Kudat ditemui sebuah bot yang kebetulan melalui kawasan berkenaan jam 6 petang kelmarin sebelum diselamatkan.

Menceritakan kejadian itu, Jakarullah berkata, ketika kejadian, bot induk yang membawanya bersama hampir 10 nelayan lain berlabuh di sekitar Pulau Mengalum untuk memancing jam 12 tengah hari pada Selasa lalu.

“Sekitar jam 3 petang, perahu yang saya naiki sendirian dihanyutkan arus ombak menyebabkan saya terpisah dengan kumpulan.

“Saya cuba mendayung mendekati bot induk, namun ketika itu ombak kuat sehingga saya gagal mengesan kedudukan bot,” katanya ketika ditemui di Jeti Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA), semalam.

Jakarullah berkata, dia kemudian menurunkan sauh bagi mengelak terus hanyut dan ketika itu air mula masuk ke dalam perahu kerana ombak kuat.

“Setiap hampir tiga minit, saya membuang air yang bertakung di dalam perahu dengan menggunakan botol mineral yang saya potong. Itulah yang saya lakukan hampir 30 jam sebelum diselamatkan bot yang kebetulan lalu di kawasan terbabit, petang semalam,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian meminta bot itu menundanya ke Pulau Mengalum.

“Kira-kira jam 10 pagi semalam, kebetulan sebuah bot nelayan berlabuh di pulau itu dan saya terus meminta tolong dihantar ke Jeti SAFMA.

“Alhamdulillah dan syukur kerana saya diselamatkan,” katanya.

Semalam, ahli keluarga mangsa membuat laporan polis bagi meminta bantuan pihak berkuasa mengesan Jakarullah yang belum pulang menangkap ikan di Pulau Mengalum.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 12:25pm
d