mutakhir

Ekstradisi dari Thailand

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Polis Johor memulakan proses siasatan terhadap lelaki yang disyaki dalang utama kes pembunuhan di stesen minyak Taman Pelangi, akhir tahun lalu sebaik suspek tiba dari Thailand ke negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu melalui proses ekstradisi dan dibawa pulang ke Malaysia bersama teman wanitanya.

“Mengenai seorang yang ditangkap di Thailand, jika tiada aral, petang ini dia sampai. Kita sudah ambil dia (ekstradisi) dan dia dalam perjalanan dibawa balik ke Malaysia dan petang ini dijangka sampai ke Johor.

“Mulai esok dan seterusnya, kita mula melakukan proses siasatan untuk membawanya ke mahkamah,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Suspek lelaki berasal dari daerah ini dipercayai mendalangi kes pembunuhan itu Disember lalu sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Dia ditahan pada 29 Mei lalu bersama teman wanitanya di wilayah Chaiyaphum, Thailand 260 kilometer di timur laut Bangkok dan ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) sementara menunggu selesai proses ekstradisi.

Pada masa sama, Mohd Khalil berkata, pihaknya menahan 40 ahli kumpulan jenayah terancang dikenali Jin Jee Tong yang ditangkap susulan kes pembunuhan itu.

Katanya, pada Ahad lalu, dua lagi lelaki berusia 54 dan 58 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

“Berkaitan perkembangan penangkapan ahli kumpulan Jin Jee Tong yang dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan itu, dua lagi ahli kumpulan sudah dituduh di mahkamah dan sehingga kini, kita sudah menahan 40 orang,” katanya.

Lelaki bernama Ah Chiu maut ditikam dan digilis dengan kereta BMW putih di stesen minyak di Taman Pelangi dan klip video pembunuhan ngeri itu tersebar di media sosial.

Sementara itu, turut berangkat pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Johor ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che Puan Khaleeda Bustamam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dan barisan Exco.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 12:32pm
d