mutakhir

[UPDATE] Anak yatim 'didera' sila tampil

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meminta penghuni pusat anak yatim persendirian di Bachok yang didakwa dipukul dan didera, tampil kepada pihaknya supaya siasatan lanjut dapat dilakukan.

Pengarahnya, Said Sidup berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan lanjut terhadap pengasas rumah anak yatim dan tahfiz berkenaan memandangkan tiada laporan atau bukti yang dinyatakan anak yatim itu sendiri bersama pengesahan doktor.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya hanya mengambil tindakan mengarahkan pusat jagaan berkenaan ditutup, kelmarin memandangkan tidak didaftarkan dengan JKM.

"Sekarang ini kita hanya mendengar dakwaan anak yatim menerima layanan kasar, dipukul dan didera hanya melalui pihak ketiga, bukan daripada mangsa sendiri yang tampil beri maklumat. Malah, ketika kita ke pusat terbabit, hanya tiga anak yatim masih ada dan sedang menunggu ibu bapa datang mengambil mereka.

"Disebabkan itu, siasatan agak sukar dilakukan kerana semua anak yatim sudah tiada di pusat terbabit, malah kita difahamkan tiada laporan polis dibuat mereka mengenai penderaan terbabit.

"Bagaimanapun, siasatan akan terus dijalankan dan kita sudah tutup pusat berkenaan kerana tidak daftar dengan JKM, malah bangunan tiga tingkat terbabit tidak menerima kelulusan daripada bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana hanya mempunyai satu tangga keluar," katanya kepada NSTP ketika ditemui di Kota Bharu.

Kisah pusat tahfiz dan anak yatim itu didakwa memberi makanan basi, penghuni tidak dibenar ke sekolah selain dilayan kasar didedahkan wanita berusia 43 tahun yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di pusat berkenaan bagi membela nasib malang mereka.

Mengulas lanjut, Said berkata, pihaknya difahamkan rumah anak yatim yang juga pusat tahfiz itu tidak didaftarkan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Katanya, jika pengasasnya mahu pusat terbabit beroperasi semula, permohonan di mahkamah perlu dilakukan selain perlu memenuhi syarat iaitu berdaftar dengan JKM dan MAIK serta mendapat kelulusan bangunan daripada PBT dan bomba.

"Kita sebenarnya pernah mengenakan kompaun berjumlah RM5,000 kepada pengasas pusat anak yatim berkenaan sebelum dimohon dikurangkan kepada RM3,500, tahun lalu. Beliau sudah bayar dan akan memenuhi syarat untuk daftar, tapi masih gagal sehingga hari ini," katanya.

Berita berkaitan

Macam dalam drama 'Nur'

[UPDATE] Pengasas kata dia difitnah

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 3:22pm
d