mutakhir

Bapa kanak-kanak dijaga pengasuh Adam Rayqal dipanggil

Oleh Siraj Mohd Zaini

POLIS akan memanggil bapa kepada kanak-kanak yang turut berada di bawah jagaan pengasuh yang menjaga Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, lima bulan, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, sebarang keterangan lelaki itu diperlukan polis bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan pada malam Selasa lalu.

“Kalau ada keterangannya, sudah tentu kita akan panggil (bagi membantu siasatan).

“Begitu juga dengan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini, salurkan kepada kita,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Klang, hari ini.

Semalam, media melaporkan bapa kepada dua kanak-kanak, Zian Hafiz Ahmad Zawati, 36, mendakwa anaknya menceritakan bagaimana suspek bertindak menggoncang badan serta mengetuk kepala Adam Rayqal kerana asyik menangis.

Kedua-dua anaknya iaitu Ahmad Hayyan Putra, 5, dan Nur Imanina Arisa Putri, 3, dihantar ke rumah pengasuh terbabit di Kampung Nakhoda, Batu Caves, sejak dua minggu lalu.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, siasatan polis bertumpu kepada waktu selepas jam 12.30 tengah hari pada hari kejadian sehingga bayi berkenaan ditemui meninggal dunia.

“Kita tahu kejadian berlaku di rumah itu, dan sudah pasti mesti ada orang yang bertanggungjawab (terhadap kes berkenaan).

“Apa pun siasatan masih diteruskan dan kedua-dua suspek masih direman sehingga 10 Julai ini sebelum pendakwaan dilakukan di mahkamah,” katanya.

Berita berkaitan

Astaghfirullah...

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 5:51pm
d